Semalam masa aku sedang mengemas-ngemas kebetulan jiran aku parking kereta dia kat rumah aku. Disebabkan aku tak tahu siapa punya kereta aku biar jelah dulu. Tapi aku pastikan barang yang aku nak letak tak kena la kereta tu risau gak kalau masa keluar-keluarkan barang terkena kereta orang pula. Lepas tu adalah dalam beberapa jam kemudian tuan kepada kereta tu pun datang dan alihkan, dia minta maaf gak sebab parking kat situ, aku kata takpela sebab aku pun belum duduk situ lagi.
Lepas tu masa aku nak buka pagar belakang rumah, kebetulan mangga rumah aku dah berkarat, adik aku duk ketuk-ketuk pun tak tanggal gak. Selang beberapa minit datang jiran sebelah rumah aku tolong ketukkan pakai tukul besi. Dalam masa yang sama aku menegur sapa juga jiran sebelah dan belakang rumah. Nasib baik lah mak dan ayah aku campur juga orang sekeliling jadi takdelah jiran-jiran aku tengok aku pun pelik dan tak kenal.
Dulu aku tak kenal jiran-jiran aku, yang aku kenal anak dorang jela tupun bukan semua aku kenal. Bila dah besar ni barulah aku nak kenal balik jiran aku dari aku kecik sampai aku besar.
Bersama-sama ini juga aku ingin kongsikan nukilan yang aku jumpa dari Mr. Google untuk perkongsian bersama.
HIDUP BERJIRAN MEMBAWA BAHAGIA
Pendahuluan
Kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung sejauh mana
kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Hubungannya
yang erat adalah antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Iaitu sebuah
masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama
mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangun
dan memajukan negara baik ketika senang mahupun susah.
Menyedari akan hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi
telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan erat di kalangan
masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat
Islam sahaja malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit,
bahasa dan sebagainya.
Mengapa Kita perlu Berjiran
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia
adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat
Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini
kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang
aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi
satu-satu kesulitan atau masalah. Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik
sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu
bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang
dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba
yang kamu miliki'.
(An-Nisaa’ : 36)
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka
tidak dapat tidak kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan
kelebihan hidup berjiran. Antaranya:
Bantuan Ketika Kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal
kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda
dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran adalah
orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa
bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan
lain-lain lagi. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia
menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat
diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib
atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang
dapat mlahirkan suasana seperti ini.
Menambah Kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti
pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya
akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang
bermaksud:
'Wahai manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari
seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'.
(Al-Hujurat : 13)
Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi
hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk
ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran
berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang
peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika
berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya. Ini tidak termasuk ilmu
atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam,
landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lain-lain lagi.
Menjamin Keselamatan Setempat
Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin
keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis
dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui
Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran.
Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti
firman Allah swt yang bermaksud:
'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan
ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'.
(Al-Maidah : 2)
Menjaga Keharmonian Masyarakat
Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan
masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan
sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera
anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika
jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak
berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan meragukan.
Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke
atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama
jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi bak kata
pepatah Melayu 'Sediakan payung sebelum hujan'. Oleh itu, membina ikatan yang
kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan
kawasan.
Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil
berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau
aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi
hasrat ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa
Kemajuan Pembelajaran Anak-Anak. Jawatankuasa ini berperanan menilai pencapaian
pelajaran anak-anak, mengenalpasti kelemahan dan masalah serta mengadakan
program-program yang dapat meningkatkan mutu pelajaran mereka.
Di samping itu juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa
Pembangunan Insan Remaja maka pelbagai aktiviti dapat disusun bagi memenuhi
keperluan dan kebajikan golongan remaja seperti kem motivasi, program jatidiri
dan sebagainya. Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik
anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan
terpelihara. Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah terletak
kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang
dinyatakan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'…dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama
mereka...'
(Al-Syura : 38)
Integrasi Nasional
Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan
kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan
kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi
mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan
hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk
semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka.
Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit
permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan
perbalahan.
Tuntutan supaya mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran
dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
'Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik)
terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi
hartaku'.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Pedoman Berjiran
Satu realiti kehidupan pada hari ini ialah kita dikelilingi
oleh manusia yang mempunyai pelbagai citarasa, pandangan, minat, gaya, sikap,
akhlak, perangai, bahasa dan budaya yang berlainan dan berbeza-neza. Jenis dan
ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki
hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan
hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan kerumitan.
Walau bagaiamanpun, perkara ini dapat diatasi sekiranya
masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur,
saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari
titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan
mahabbah. Di samping itu, sikap-sikap yang negatif seperti berburuk sangka,
irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan.
Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan
perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai pendekatan dan amalan
boleh dibuat bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya,
Bertegur Sapa
Amalan bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan
terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan
kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan
bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa
masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada
kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.
Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap
orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.
Kunjung-Mengunjung
Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat
mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih
mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa
berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan
kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.
Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang
sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh
mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke
rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan
tertentu.
Menghulurkan Bantuan
Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup
mengenepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran
pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah
dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.
Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama
semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran
adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang
baik sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh
setiap daripada kita.
Bergotong-Royong
Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung,
masjid, balairaya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan
akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya
dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.
Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk
setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihaar
alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini
dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatupadu dan hidup harmoni
sesama mereka.
Perkelahan Keluarga
Mengadakan program perkelahan keluarga adalah amalan terbaik
dalam menjalinkan kemesraan penduduk setempat. Seharusnya kita memanfaatkan
sebaik mungkin destinasi-destinasi pelancongan yang banyak terdapat di negara
kita bagi menjayakan program ini seperti Batu Layar di Kota Tinggi, Johor,
Pantai Kundur di Melaka, Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang dan sebagainya.
Banyak acara dan permainan yang boleh dijalankan dalam
mengisi program perkelahan keluarga ini sama ada untuk dewasa, kanak-kanak atau
keluarga seperti berebut kerusi, mencari barang, mencari harta karun, tarik
tali, tiup belon dan sebagainya. Siapa sangka keseronokan yang dirasai secara
tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan kejiranan!
Banyak lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan
hubungan kejiranan seperti bertukar-tukar juadah atau kuih-muih, mengadakan
kelas kemahiran seperti jahitan dan sulaman, mengadakan progran lawatan sambil
belajar, mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Apa yang penting ialah adanya
kesungguhan dari dalam diri setiap daripada kita dalam mengorak langkah bagi
mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan dan seterusnya membawa
kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.
Kesimpulan
Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan
besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah
negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita
sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar
mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat
kejiranan tetap menjadi keutamaan. Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna
dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang yang
kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat
keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan
kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.