Gembirakan Hati Orang Tua Mu

by - 11:22 AM



Sesuatu perkara itu mungkin dianggap remeh. Namun jika ia menggembirakan hati ibu bapa, apa salahnya ia dilakukan. Ketahuilah besarnya penghargaan Allah SWT terhadap orang yang menyenangkan hati ibu bapanya.

Ibu Bapa Sudah Banyak Menggembirakan Hidup Kita

Saat kita dilahirkan, ibu dan ayah merupakan orang pertama yang bergembira dengan kelahiran kita. Ibu tersenyum bahagia walau sakit dan luka masih dideritainya. Wajah ayah berseri-seri mengkhabarkan kepada keluarga dan sanak-saudara tentang kegembiraannya. Semua orang tumpang gembira dengan rezeki berharga yang melimpah dalam hidupnya berupa seorang anak.

Setiap hari ibu bapa mengacah kita dengan mesra dan manja, usikan dan perhatian mereka amat bermakna dan menggembirakan kita saat itu. Mereka menggembirakan lagi kita dengan mengajar berjalan, membelikan pakaian dan permainan baru serta membeli pelbagai barang yang kita inginkan.

Mereka juga menggembirakan kita dengan mengajar mengaji al-Quran, menghantar ke sekolah, mengajak bersiar-siar, balik ke kampung dan sebagainya. Mereka berkorban dan bersusah payah untuk memastikan kita hidup sempurna dan cukup keperluannya. Kita gembira bermain, berlari dan berkejaran dengan kawan-kawan sehingga kita semakin membesar dan dewasa.

Apakah balasan kita terhadap insan yang terlalu banyak menggembirakan hidup kita itu? 

Adakah kita turut membahagiakan hidup mereka? 

Atau hanya membentangkan masalah demi masalah terhadap mereka?

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Aku jua tempat kembali kamu semuanya. Kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan.” (surah al-Ankabut 29:8)

Menjaga Adab Dengan Ibu Bapa

Bagi anak-anak, tiada yang lebih penting bagi mereka selain daripada menghormati ibu bapanya. Ibu bapa sememangnya mahu anak-anak menunaikan tanggungjawab dengan memenuhi hak ibu bapa mereka itu. Sebagai anak, kita harus tahu adab sopan dan nilai budi pekerti yang tinggi dengan ibu bapa.

Hormat bukan sekadar tunduk ketika berjalan di hadapan ibu bapa, tetapi merangkumi segala adab memasuki bilik ibu bapa. Ini cukup penting kerana bilik merupakan tempat mereka berehat. Dalam Islam telah menggariskan syarat tertentu bagi anak-anak untuk masuk ke dalam bilik ibu bapa.

1. Jaga aurat di rumah sekadar keperluan sahaja

Selain daripada itu, anak-anak juga harus menjaga aurat di rumah. Dedahkan aurat sekadar keperluan sahaja dan tidak boleh berlebih-lebihan. Walaupun sesama keluarga tetapi aurat tetap perlu diambil perhatian bagi mengelakkan terjadinya unsur-unsur negatif di rumah seperti sumbang mahram atau “haruan makan anak”. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang terbaik dari segi etika berpakaian kerana ia boleh mempengaruhi cara anak-anak berpakaian.

2. Tidur berasingan bagi anak-anak berusia 10 tahun ke atas

Selain itu, anak-anak yang telah berumur 10 tahun ke atas, adalah wajar bagi mereka untuk tidur di dalam bilik berasingan antara lelaki dan perempuan. Sebuah rumah yang baik lagi praktikal, perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga buah bilik iaitu sebuah untuk ibu bapa dan dua buah lagi untuk anak lelaki dan anak perempuan. Pembahagian bilik tidur ini adalah satu sunnah dan etika yang digariskan oleh Rasulullah SAW untuk memelihara aurat dan membentuk adab mereka dengan akhlak yang sempurna.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-

“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila usia mereka tujuh tahun. Apabila usia sepuluh tahun pukullah mereka seandainya mereka ingkar dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan).” (HR Abu Daud)

Minta Izin Dahulu

Tiga waktu yang diwajibkan oleh syariat seorang anak perlu meminta izin jika ingin masuk ke bilik ibu bapa:-

1. Sebelum Subuh

Merupakan waktu persendirian ibu bapa. Inilah masa peribadi mereka berdua dan kurang bersedia untuk bersama anak-anak.

2. Sebelum Waktu Zuhur

Disebut juga sebagai waktu “qailulah”. Waktu ini mungkin ibu bapa sedang berehat dan tidur sebentar atau sedang bersiap-siap untuk solat Zuhur.

3. Selepas Isya’

Biasanya waktu ini ibu bapa sedang bersiap untuk tidur atau sedang bersantai.

Memberi Hadiah Dan Meraikan Tarikh Penting

Cara yang boleh menggembirakan hati ibu bapa juga adalah dengan memberi hadiah, tidak kira sama ada ketika hari lahir mereka atau menjelang musim perayaan. Sebenarnya tiada waktu tertentu untuk anak-anak memberi hadiah. Itu hanyalah salah satu cara untuk mengingati supaya dengan cara itu ibu bapa rasa lebih dihargai.

Bagi merapatkan lagi kemesraan antara anak-anak dan ibu bapa, tiada salahnya anak itu meraikan hari-hari penting ibu bapa seperti hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan. Anak-anak juga boleh menganjurkan majlis bagi mengingati hari yang penting buat ibu bapa. Sambutan sebegini hanyalah kreativiti anak-anak untuk meraikan ibu bapa, ia bukanlah amalan sunnah.

Rasulullah SAW hanya mengingatkan kita supaya saling memberi hadiah agar kita sayang-menyayangi tanpa meletakkan batas waktu untuk memberikan. Agar lebih kreatif membahagiakan ibu bapa, anak-anak boleh juga memberi hadiah bukan pada hari-hari penting. Jika ditanya sempena apakah hadiah itu, katakan kepada ibu bapa:-

“Sempena saya sayangkan mak dan ayah. Tiada sebab lain.”

Tentu mereka rasa sangat gembira. Berilah hadiah kepada ibu bapa mengikut kemampuan. Bukan harganya menjadi ukuran tetapi keikhlasan hati dalam mengingati dan menghargai mereka.

Pastikan Setiap Pemberian Daripada Sumber Yang Halal

Walaupun seorang anak sering memberi hadiah kepada ibu bapanya atau melimpahkan ibu bapanya dengan kemewahan, hati ibu bapa tidak akan gembira jika ia bukan bersumberkan daripada sumber yang halal dan baik.

Anak yang memperoleh pemberian daripada sumber yang syubhah apatah lagi sumber yang haram seperti hasil penipuan, rasuah, curi dan sebagainya hanya akan menambah kesedihan dan kebimbangan ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di muka bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata.” (surah al-Baqarah 2:168)

Menjadi Anak Yang Berperibadi Cemerlang

Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila anaknya berjaya dengan cemerlang?

Kecemerlangan dalam sahsiah diri lebih hebat dan kekal berbanding kecemerlangan akademik. Namun, alangkah bagusnya bagi seorang anak yang memiliki kedua-duanya sekali. Salah satu cara menggembirakan hati ibu bapa adalah dengan memantapkan diri untuk menjadi seorang yang berperibadi baik dan cemerlang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seseorang hamba pada hari kiamat selain daripada akhlak yang mulia.” (HR Abu Daud)

Anak yang soleh dan solehah tidak akan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Dia tidak akan lupa untuk menunaikan ibadah tidak kira di mana sahaja dia berada. Dia membuktikan dalam kehidupannya bahwa dia mengenal mana yang halal dan haram. Anak ini juga sentiasa beramal untuk kebaikan dirinya dan ibu bapanya. Hati ibu bapa akan gembira jika anaknya jelas tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba di sisi Allah SWT.

Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara sekalian alam.” (surah al-An’am 6:162)

Wallahua'lam.

Hasil Nukilan Mohd Shahrul


You May Also Like

2 comments

  1. waktu yang kak sebut 2 ada dalam alquran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. yang mana satu ye? saya pun share dari orang untuk peringatan diri sendiri senang-senang boleh baca lagi =)

      Delete