Ciri-Ciri Ibu Sejati

by - 11:06 AM

Anak itu milik Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Sifat utama yang dibekalkan oleh Allah kepada mana-mana ibu adalah sifat kasih sayang yang tinggi. Dengan kasih sayang inilah seorang ibu itu benar-benar dapat menjadi ibu. Dari sifat kasih sayang ini bercambah sifat-sifat lain yang menyerlahkan lagi sifat keibuan sejati pada dirinya. 



Berikut adalah antara ciri-ciri yang selalunya ada pada ibu-ibu yang memiliki ciri ibu sejati: 

1. Kasih sayangnya 

Ibu yang sejati di dalam Islam akan memberi kasih sayang bukan saja dalam bentuk belaian dan manja tapi juga didikan. Di samping keperluan fizikal anaknya dipenuhi, keperluan rohani turut diisi. Kerana tingginya kasih sayang ibu, dia mengharapkan kejayaan yang berkekalan buat anaknya. Oleh itu anak itu dididik dan dibentuk peribadinya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. 

2. Prihatin dan ambil berat 

Kadang-kadang anak sudah besar panjang pun, ibu masih prihatin, ambil berat dan ambil tahu tentang diri anaknya. 

3. Halus perasaan 

Ibu yang sejati dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar ‘bahasa tubuh’ anaknya. Hati seorg ibu dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anaknya tidak beritahu. 

4. Suka memberi nasihat 

Seorg ibu suka dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Oleh itu dia selalu menjadi kaunselor dan tempat rujuk anak-anaknya. Sifat suka memberi nasihat ini didorong oleh keinginan untuk melihat anaknya mendapat yang terbaik dalam hidupnya. 

5. Sangat sabar dan berlapang dada 

Dari wajahnya sudah dapat dibaca sifat sabar dan lapang dadanya. Bukan dia tidak pernah marah tapi dia pandai dan mampu mengawal perasaan. 

6. Lembut tapi tegas 

Wataknya ‘adjustable’. Di mana perlu berlembut, dia akan berlembut. Di mana perlu tegas dan tidak boleh beri muka, dia akan tunjukkan ketegasan. Namun waktu tegas, sifat kelembutannya masih terjaga. Dia tegas bila melibatkan soal disiplin, peraturan atau perintah Allah, tapi wataknya yang lembut tidak pula bertukar keras dan kasar. 

7. Suka meraikan 

Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu yang tinggi sifat keibuannya masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Contohnya apabila anak balik bercuti, seorg ibu akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak. Dia mahu anak-anaknya selesa dan dipenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak. 

8. Tidak pilih kasih 

Tiada di kalangan anak-anak yang berasa dirinya kurang disayangi. Sifat menyamaratakan kasih sayang ini dapat dilihat pada layanannya terhadap anak-anak tidak kira yg sulung, kedua ketiga atau yang bongsu. Dengan kekuatan sifat keibuannya, seorang ibu dapat membentuk dan mencorak anak-anaknya dengan penuh kasih sayang tanpa ada rasa pilih kasih.

Dikongsi dari dbintanghati

You May Also Like

1 comments